ASALAMUALAIKUM
Profile
- Mr M ATAR
- Kelantan, Malaysia
- KNOWLEDGE IS........................... NAME : M ATAR SHAMSI BIN YUSUF......... NO MATRIK : 202230..................... .......................................E-MAIL : abinadiah@gmail.com
March 28, 2020
SEBUAH SAJAK ASAL ROSLI K. MATARI
Friday, October 2, 2009
SEBUAH SAJAK ASAL ROSLI K. MATARI
Kasihku Pada Pattani karya Rosli K. Matari yang mengharukan untuk gurunya Ustaz Mujahid Adil.
Rosli juga adalah guru tingkatan enam saya yang mengajar Bahasa MELAYU dan Pengajian Am lebih 22 tahun yang lalu. Seperti hubungan Rosli dengan Mujahid, begitulah juga nampaknya hubungan saya dengan Rosli –guruku yang menjadi sahabat.
Memandangkan versi yang diemelkan oleh Rosli kepada saya berbeza dengan yang tersiar di majalah Dewan Sastera,
maka wajar sekali saya paparkan di sini versi asalnya untuk tatapan kawan-kawan dan khalayak yang benar-benar menghormati dan mengerti puisi.
KASIHKU PADA PATTANI
(Buat guruku yang menjadi
sahabat – Mujahid Adil)
Pattani itu sudah jauh, berbalam
seakan langit berbaur senja
indah terlorek dalam ingatan,
tetapi itulah jambar sayu
kampung laman, melambai
bagai liuk api pelita
kusayang bukit, nyiur pantai
jiran dan pondok
semuanya menjadi seligut
sebagai air mata, sebagai embun
jejakku di sana
tertinggal, terbenam
tetapi inilah samudera hidup
ada alun, penuh arus
mengalir, bergelombang
dijalirkan takdir
kubawa diriku menyeberang
ke Mekah, Madinah, dan Mesir
kucari sinar ilmu
dan cahaya ibadat
kerana aku ini
kelekatu, debu, zarah
setelah aku kembali
berceracak musuh
benih hitam, belati
duri, darah
musuh terpendam – terapung
musuh menyelinap – terjongor
bagi mereka
cahaya itu api
pagar pondokku
terbelenggu
pintu dan jendela
tidak boleh dibuka lagi
di dalamnya
kandil mengerdip terakhir
cahaya dianggap berbahaya
lebih daripada api
kubawa diriku
menyeberang lagi
tiada jalan pulang
semuanya berkelok, bersimpang
bagaikan panji semirang
kuciptakan berbagai nama
tanah semenanjung ini
juga bumi Tuhan yang luas
di sinilah kupasang lentera
untuk menyuluh jalan gelita
beranjak desa, beralih surau
berkelek derita, menelusur hidup
kusebarkan firman dan sabda
pembeza gelap dan terang
kuselongkar pantun dan hikayat
kucintai rubai dan sajak
sesekali kulihat Pattani
melambai, sayup-sayup
apalah dayaku
di sini air mata, di sana peluru
kasihku pada Pattani
tiada lingkap, litir
bagai melanbuai
tidak mudah dirapih
sungguh tiada pusam,
walau hidupku luntang
kini kulampungkan hidupku
di lubok jambu, mulong
akar usiaku
sudah memanjang putih
seakan sudah rapat
menjalar ke tanah makam
setiap petang,
kutunggu langit senja
aku sangat terkenang
syair nenda:
“rumah besar, kampung luas
tinggal juga…”
kerana hidup ini
bertemu batu nisan.
12 Januari 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment