ASALAMUALAIKUM

Profile

My photo
Kelantan, Malaysia
KNOWLEDGE IS........................... NAME : M ATAR SHAMSI BIN YUSUF......... NO MATRIK : 202230..................... .......................................E-MAIL : abinadiah@gmail.com

April 11, 2019

ILMU SIFAT 20 ( Mazhab Asy'ariah - Muturidiah )






ILMU SIFAT 20 (Mazhab Asy'ariah - Muturidiah)

Ilmu usuluddin  lebih terkenal dengan nama ilmu sifat 20 juga dikenali pada asalnya sebagai mazhab Asy’ariah-Maturidiah. Mazhab ini telah menguasai dakwah keimanan dunia Islam sekitar 1,000 tahun  lampau. Aliran atau mazhab ini diasaskan oleh Abu Hassan al-Asy’ari yang lahir pada 270H, kira-kira 55 tahun setelah Imam Asy-Shafi’i meninggal dunia Pada 29 Rejab, tahun 204 Hijrah bersamaan 20 Januari 820 Masihi dan sekitar 4 tahun selepas Imam Bukhari meninggal dunia 1 September 870 Malam 1 Syawal 256 Hijrah (dilahirkan di Bukhara Iran, pada13 Syawal 194 H).
1) Sejarah Munculnya Ilmu Kalam (Teori Tauhid)

Ilmu kalam (teori tauhid) yang diasaskan oleh mazhab Mu’tazilah yang mengutamakan logik akal telah hilang pengaruhnya setelah Al-Watsiq  di angkat menjadi khalifah Abbasiyyah (842 M. - 845 M.). Beliau membenci golongan ulama mazhab Mu’tazilah. Di awal kemunculan mazhab ini (pemerintahan al-Ma’mun dan al-Muktasim), munculnya tokoh-tokoh hebat di dalam mazhab itu seperti Washil bin Atha’,  Amar bin Ubaid, al-Nazzham, al-‘Allaf  yang pintar dengan ketajaman idea dan ianya mampu menarik golongan muda. Inilah golongan yang terpengaruh dengan falsafah Yunani yang mengagungkan akal dan meyakini manusia mampu menciptakan sendiri perbuatannya serta memiliki pilihan dan kehendak yang mutlak, di samping tidak mengimani qadha’ dan qadar. Telah diakui bahawa mazhab Mu’tazilah ini terkenal dengan ketajaman pandangan, keluasan pemikiran dan penyelidikan. Bahawasanya hujah-hujah mereka adalah natijah-natijah ilmiah yang lebih hampir kepada logik (akal) dan para penuntut ilmu lebih tertumpu kepada mazhab ini. 

Wasil memisahkan diri dari pengajian gurunya, al-Hasan al-Basri rhm kerana beliau tidak lagi bersetuju dengan gurunya dalam beberapa masalah dan oleh kerana itu dia dan pengikutnya dikenali sebagai al-Mu’tazillah (kumpulan yang memisahkan diri). Aliran atau mazhab Mu’tazilah ini menjadi mazhab resmi pemerintahan kerajaaan Islam Bani Abbasiyyah pada masa al-Ma’mun, al-Mu’tashim dan al-Watsiq menjadi khalifah. 

Selain itu muncul kelompok al-Jabariyyah yang dipelopori oleh Juhm bin Shafwan dan oleh kerana itu kumpulan ini dikenali sebagai al-Juhmiyyah. Kumpulan ini merupakan aliran yang sama sekali bertentangan dengan mazhab Mu’tazillah. Mereka menafikan sama sekali adanya kehendak dan kebebasan memilih pada diri manusia seperti bulu ayam yang berterbangan di udara dan ditiup angin ke sana ke mari tanpa wujud sebarang kebebasan memilh. 

Kemudian muncul pula kelompok al-Murji’ah yang dipelopori oleh Yunus bin ‘Aun an-Numairi dan kumpulan ini dikenali sebagai al-Yunusiyyah. Antara pemuka kumpulan ini ialah Ghassan al-Kufi dan ‘Ubaid al-Mukta’ib. Antara kenyataan mereka bahawa kemaksiatan tidaklah membahayakan selagi masih ada iman, sebagaimana perbuatan ibadah tidak mendatangkan manfaat selagi masih disertai kekufuran.
Begitu juga sejarah awal kemunculan perbezaan mazhab fiqh, seperti mazhab Abu Hanifah, Malik, al-Syafi’i, Ahmad bin  Hanbal, Sufyan al-Tsauri, Abu Tsaur, al-Auza’i, al-Laits bin  Sa’ad dan lain-lain. Namun kemudian umat Islam hanya berpegang pada empat mazhab sahaja iaitu Hanafi, Malik, Hanbali dan al-Syafi’i. Mereka juga bersama berjuang menghadapi kelompok-kelompok yang sesat yang didokong kuat oleh khalifah Islam sendiri.

Sebailknya, penganut mazhab Hanbali dan muhaddisin (ahli hadis) setelah kewafatan Imam Ahmad bin Hanbal tidak menampakkan tokoh yang hebat dan berwibawa, dan begitu juga dengan muhaddisin. Oleh itu, mazhab Mu’tazillah lebih menampakkan keunggulannya dalam majlis-majlis debat dan kajian. Kebanyakan umat Islam terpukau dengan mazhab Mu’tazilah dan falsafahnya. Orang-orang yang berfalsafah ini  mempermainkan al-Quran dan akidah-akidah Islam. Mereka telah dikuasai oleh hawa nafsu dan fikiran-fikirannya sehingga aliran/mazhab baru itu menquduskan (mensucikan) akal dan menggunakannya sehingga dalam masalah-masalah kenabian dan keimanan dengan yang ghaib. Muhaddisin, al-Hanabilah (pengikut mazhab Hanbali),  ahli-ahli zuhud dan fuqaha tidak dapat membendung aliran ini. 

Dalam suasana ini muncul Abu al-Hasan bin Ismail al-Asy’ari muncul dan mampu menyingkap penyelewengan-penyelewengan dan kecacatan-kecatatan mazhab Mu’tazilah. Dilahirkan di Basra pada 270 H. Beliau membesar dan menerima ilmu-ilmu dari shaikh Mu’tazilah pada zamannya, iaitu Abu Ali Al-Jaba’i. Beliau menjadi pembantu dan orang kepercayaan Abu Ali selama empat puluh tahun, dan sentiasa membela mazhab Mu’tazilah. 

Abu Al-Hasan Al-Asy’ari menyedari penyelewengan-penyelewengan mazhab Mu’tazillah dan bertindak meninggalkan mazhab itu dan menjadi pembela ke atas aqidah umat Islam. Beliau menegakkan dalil-dalil akal (teori tauhid) ke atas akidah Ahli Sunnah, berdebat dengan ulama-ulama Mu’tazilah dan orang-orang yang berfalasafah akidah demi akidah.

Dalam madrasah pemikiran Abu al-Hasan al-Asy’ari telah lahir ulama-ulama pilihan dan mutakallimin terkemuka. Ilmu dan kefahaman mereka telah menguasai dunia Islam dalam satu tempoh masa dengan peralihan daripada mazhab Mu'tazilah. Antara ulama-ulama tersebut ialah:
1)     Al-Qadi Abu Bakar al-Baqilani (403 H)
2)     Shaikh Abu Ishaq Al-Isfairani (418 H)
3)     Imam Al-Haramain Al-Juwaini (478 H)

Setelah berlalu satu tempoh, mazhab Asy’ariah telah hilang keaktifan dan pengaruh di kalangan ummah, maka taqlid telah bermaharajalela di kalangan pelajar madrasah. Kemudian muncul pula golongan falsafah yang menterjemah kitab-kitab mantiq dan falsafah dari bahasa Siryani, Yunani dan Parsi ke dalam bahasa Arab, iaitu kitab-kitab theologi dan metafizik. Ianya menumpukan kepada kajian-kajian tentang ketuhanan yang bercanggah dengan tauhid. 

Begitu juga dengan kelahiran golongan batiniyyah yang lebih memudaratkan umat Islam berbanding dengan pengaruh golongan falsafah. Batiniyyah berpegang kepada maksud batin yang disandarkan dari makna-makna zahir al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW. Makna-makna itu tidak diketahui oleh orang-orang awam secara nyata dan di sisi orang berakal merupakan simbol-simbol atau isyarat-isyarat kepada hakikat tersembunyi. Orang-orang yang tidak menggunakan akal untuk mengetahui  rahsia-rahsia, batin-batin dan makna-makna yang dalam dianggap berada di bawah belenggu taklif-taklif syarak. Sebalik- nya bagi sesiapa yang meningkat pengetahuannya kepada ilmu batin maka gugurlah taklif ke atasnya dan bolehlah mereka beristirehat dari bebanan-bebanan melaksanakan segala amal soleh. 

Imam al-Ghazali menjelaskan perselisihan di kalangan ummah adalah berpunca dari munculnya pelbagai mazhab ilmu kalam (teori tauhid) yang silih berganti menguasi pemerintah/ kerajaan Islam. Kata beliau:
“Terjadinya perselisihan faham di antara umat Islam adalah akibat perbezaan akidah mazhab-mazhab ahli zahir (ilmu kalam) ini yang menguasai dunia Islam secara silih berganti  yang telah melahirkan sebahagian pengikut fanatik di kalangan mereka. Ini mengakibatkan berlakunya pertumpahan darah dan keruntuhan negara. Kemudian muncul khalifah kerajaan Islam yang tidak membenarkan  kajian mendalam terhadap ilmu kalam, tetapi umat Islam menumpukan pula kepada perdebatan dalam perbezaan ilmu fiqah. Mereka menjelaskan keutamaan secara khusus di antara mazhab Syafi’i berbanding dengan mazhab Abu Hanifah tetapi mengabaikan perselisihan dalam mazhab Malik dan begitulah sebaliknya dengan mazhab-mazhab fiqah yang lain. Mereka mendakwa bahawa tujuan utama adalah untuk mengistinbat perkara yang sama dalam syari’at. Mereka berterusan dan banyak menyusun karangan hasil dari perdebatan hingga masa kini, dan kami tidak tahu apa yang akan berlaku selepas zaman kami.” 

Seterusnya beliau menjelaskan dengan katanya:
“Inilah faktor yang menyebabkan tumpuan kepada perdebatan dan masalah-masalah khilafiyyah (perselisihan) semata-mata. Jika diri pemerintah (khalifah) cenderung berselisih faham dengan seorang imam (tokoh ugama) dari kalangan para ulama maka mufti atau kadi akan cenderung menyokong pemerintah itu dan tidak berdiam diri. Mereka memberi alasan bahawa apa yang mereka sibukkan adalah ilmu agama dan tujuan mereka adalah untuk menghampirkan diri kepada Tuhan sekalian alam.” 

Pada 323 H, terjadi pertikaian antara pengikut mazhab Hanbali dengan pengikut mazhab Hanafi yang menyerang rumah kediaman, merompak dan membakar. Berlaku fitnah besar di antara pengikut mazhab Hanbali dengan pengikut mazhab Asy’ari sekitar tahun  469 H sehingga 495 H kerana mereka meyakini Abu Al-Hasan Asy’ari membela dan menyokong mazhab Mu’tazilah untuk memusuhi para pengikut mazhab Hanbali. Ketika Abu Al-Hasan Asy’ari meninggal dunia pada 324 H,  para pengikutnya terpaksa merahsiakan tempat pengkebumiannya supaya tidak diketahui oleh pengikut mazhab Hanabali kerana dikhuatiri digali kuburnya. Pada 461 H terjadi pertikaian di Damsyik antara penyokong kerajaan Islam al-Fathimiyyah di barat dengan penyokong kerajaan Islam Abbasiyyah di timur sehingga ada di antara mereka membakar rumah di antara satu sama lain dan menyebabkan masjid al-Umawiy di Damsyik terbakar. Pada 447 H, pengikut mazhab al-Syafi’i dan pengikut mazhab Hanbali saling melakukan serangan, membunuh, mencuri dan merompak disebabkan perbezaan pendapat di antara mereka berkenaan hukum membaca: “Bismillah hi rohma nirrohim” dengan suara yang kuat dalam solat. Pengikut mazhab al-Syafi’i berpendapat harus membacanya dengan suara yang kuat, manakala menurut pengikut mazhab Hanbali pula tidak demikian.Demikianlah berlakunya perpecahan dan pertelingkahan di kalangan masyarakat Islam secara berleluasa hingga dewasa kini, dan akidah ummah terus binasa kerana mengabaikan amalan zikrullah.

Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Jarak waktu akan saling hampir, amal akan berkurangan, sifat kedekut akan diturunkan, akan muncul fitnah (cubaan, huru hara) dan akan banyak al-Haraj (kekecohan). Mereka bertanya: Apakah al-Haraj itu wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Pembunuhan, pembunuhan.”       (HR Imam Bukhari)

Imam al-Ghazali menegaskan bahawa hujah-hujah ilmu kalam (teori tauhid)  adalah  mujadalah  yang tercela dan di dalam kitabnya al-Ihya, beliau tidak meletakkan teori tauhid itu sebagai aspek ilmu dalam agama. Kata beliau:
“Ketahuilah bahawa hasil yang terkandung dalam ilmu kalam dan dalil-dalil yang dikemukakkan sudah dijelaskan di  dalam al-Quran dan hadis-hadis. Apa yang terhasil (hujah) dari kedua sumber itu itu adalah mujadalah (debat) yang tercela  dan ianya adalah bid’ah. Kekeliruan yang terhasil dari perselisihan di antara puak-puak (mazhab-mazhab) yang berlarutan dengan menukilkan pelbagai isu atau idea hanyalah palsu dan hayal. Ianya dipandang rendah mertabatnya sekadar untuk diperdengarkan dan kajian yang dilakukan tidak ada kaitan dengan agama.” 

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa para sahabat r.a tidak menguasi ilmu kalam (teori tauhid).  Kata beliau:
“Nabi  SAW telah meninggalkan ribuan para sahabat r.a sebagai ulama Allah. Baginda SAW memuji mereka dan tidak ada di kalangan mereka yang menguasai ilmu  kalam.” 

Allah SWT telah menjelaskan bahawa al-Quran itu menjadi penawar penyakit-penyakit hati, menjadi petunjuk untuk keselamatan dan membawa rahmat bagi orang-orang beriman. Inilah peraturan yang telah ditetapkan di dalam al-Quran (amalan zikrullah)  yang terang lagi mudah sebagai wasilah untuk pembersihan roh/hati dari sifat-sifat keji (penyakit-penyakit hati) atau  lintasaan-lintasan jahat (was-was syaitan) yang menyelubunginya dalam hubungan dengan Allah SWT (sendi akidah). Fitrah asal dalam diri manusia (hati/roh) tidak akan menemui ketenangan kecuali berhubung kepada Allah SWT melalui amalan ini. Oleh itu sebelum ditarbiyah dengan amalan zikrullah manusia  berada di dalam kesesatan. Tegasnya, umat Islam tidak memerlukan hujah-hujah atau perbahasan bersifat teori terhadap dalil-dalil akidah (teori tauhid) yang tiada hubungan dengan hakikat tauhid (fitrah yang sedia wujud dalam diri manusia) atau melakukan perubahan kepada prinsip  tarbiyah keimanan yang diperintahkan oleh Allah SWT (amalan zikrullah).



Hakikat fakta ini dapat kita lihat dalam firman-Nya.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاء لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang  menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”                     (Yunus: 57) 

Allah SWT juga berfirman.
وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَاناً لِّكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ
Maksudnya:
“Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat dan berita menggembirakan bagi orang-orang Islam.”                     (al-Nahl: 89) 

Allah SWT berfirman lagi.
الَر كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ
Maksudnya:
“Inilah kitab (al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita kufur kepada cahaya (keimanan) dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.”                              (Ibrahim: 1) 

Sesungguhnya tasawwur akidah di dalam al-Quran yang berasaskan  amalan zikrullah merupakan akidah yang bersifat fitrah dan praktikal yang bersandarkan kepada tuntutan semulajadi fitrah (roh) itu sendiri. Fitrah yang sedia wujud  itu akan memimpin mereka ke arah beramal ibadah demi menuju kebaikan dalam hidupnya. Ternyata, inilah akidah yang sejahtera dan  yang hendak dibentuk dalam diri setiap insan ciptaan Allah SWT ini. Kepada mereka yang mempunyai tasawwur terhadap akidah Islam yang syumul, mereka pasti mengikut peraturan yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah (amalan zikrullah), dan meninggalkan perbahasan bersifat teori terhadap dalil-dalil akidah (teori tauhid) yang tiada hubungan dengan hakikat tauhid (fitrah yang sedia wujud dalam diri manusia). 

Al-Quran telah mengemukakan bukti keutamaan amalan ini dengan  dalil-dalil yang begitu banyak secara jelas dan nyata. Kitab Allah  ini sesungguhnya telah mengubati akidah manusia yang sebelumnya berada di dalam kesesatan. Oleh sebab itulah, hakikat tauhid merupakan fitrah yang sedia wujud dalam diri manusia (roh) dan amalan zikrullah ini adalah wasilah yang terpenting  untuk menyucikan hijab hati. Hakikat fakta ini dapat kita lihat dalam firman Allah SWT: 
وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّآلِّينَ
 Maksudnya:
“Dan berzikrullah sebagaimana yang ditunjukkan kepada mu (yang memberi petunjuk kepada jalan berzikrullah mu). Dan sesungguhnya kamu sebelum itu termasuk dalam golongan orang-orang yang sesat.”        (al - Baqarah: 198)

Perlu ditegaskan bahawa akidah Islam adalah wahyu Allah SWT dan bukan pula ideologi atau hujah-hujah ilmu kalam (teori tauhid). Ianya semata-mata berasaskan amalan zikrullah sebagai wasilah untuk mencapai kesempurnaan hati/akidah. Terima sahaja ketetapan Allah SWT bahawa amalan rohani ini adalah sendi akidah dengan tidak payah ditokok tambah lagi sebab akidah Islam ini sudah pun sempurna lengkap segala-galanya.

Kemudian Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa para sahabat r.a   tidak menghabiskan masa dengan hujah-hujah ilmu kalam. Kata beliau:
“Akan tetapi...mata hati mereka buta, maka mereka tidak memandang kepada para sahabat r.a yang awal itu. Nabi SAW menyaksikan mereka sebagai sebaik-baik makhluk dan mereka juga berhadapan dengan ramai kalangan ahli bid’ah dan hawa nafsu. Tetapi mereka tidak menghabiskan usia dan agama sebagai tujuan untuk pertelingkahan-pertelingkahan dan perdebatan-perdebatan di dalam kesesatannya, maka mereka meninggalkan dan berpaling darinya serta membenci kerana Allah. Tidak membiasakan diri mereka  dengan bermuka-muka dengannya di sepanjang usia, bahkkan mereka mengatakan: “Sesungguhnya kebenaran ialah dakwah kepada sunnah, dan di antara sunnah ialah meninggalkan perdebatan  dalam dakwah kepada sunnah, kerana Abu Umamah Al-Bahihi meriwayatkan dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda dengan maksudnya:
 ‘Suatu kaum sesekali tidak tersesat setelah adanya petunjuk yang ada  pada mereka kecuali mereka didatangi perdebatan.’

Kemudian mereka melihat Nabi SAW mengirim utusan kepada seluruh ahli agama, maka dia tidak duduk bersama-sama dengan mereka dalam majlis perdebatan untuk memaksa, membatalkan dan menguatkan hujah, menjawab soalan dan mengadakan paksaan. Oleh itu  mereka tidak berdebat dengan mereka melainkan membaca Al-Quran yang diturunkan ke atas mereka tanpa menambahkan perdebatan ke atasnya. Ini kerana ianya akan mengganggu fikiran (menjadi hijab).” 

Beliau juga menjelaskan tentang  kesalahan meletakkan istilah ‘ilmu tauhid’ ke atas ‘ilmu kalam’ dengan katanya:
“Kini ilmu kalam telah dianggapkan sebagai ilmu tauhid yang terhasil melalui perdebatan di antara pelbagai pihak dan mengisytiharkan keunggulan mereka sehingga menamakan diri mereka sebagai ‘ahli tauhid’ dan mutakallimin dinamakan sebagai ‘ulama tauhid’. Sebaliknya  semua ciri-ciri khas ilmu kalam itu tidak pernah dibicarakan di zaman angkatan umat Islam yang awal. Sesungguhnya mereka sangat mengingkari orang  yang membukakan pintu perdebatan dan membuka jalan ke arahnya. Ada pun yang terkandung di dalam al-Quran dari dalil-dalil zahir yang diterima pada awal pendengaran telah dipersetujui sebagai ilmu al-Quran. Tauhid di kalangan angkatan umat Islam yang awal seolah-olah tidak diketahui oleh mutakallimin dan jika difahami juga mereka tidak bersifat dengannya. Mereka berpegang kepada seluruh perkara dari Allah Azza wa Jalla.”

Imam al-Ghazali menjelaskan pelbagai bentuk tauhid  atau jalan makrifah kepada Allah SWT di kalangan umat Islam di  zamannya dengan katanya:

“Golongan pertama mengatakan  la ilaha illallah dengan lisannya tetapi hatinya lalai dari maknanya atau ia meng- ingkarinya yang dinamakan tauhid orang munafik.
Golongan kedua mengatakan la ilaha illallah dengan lisannya dan hatinya membenarkan makna lafaz tauhid itu. Tauhid tersebut dinamakan tauhid orang awam. Inilah tauhid yang disebut di dalam ilmu usuluddin dan dibicarakan oleh golongan fuqaha dan ulama mutakallimin (ulama kalam) daripada Asy’ariyyah (aliran Asy’ariyyah) dan Maturidiyyah (aliran Maturidiyyah).

Golongan ketiga bahawa memandang ia dengan hatinya akan keesaan Allah SWT itu dengan jalan terbukanya hijab hatinya dengan perantaraan nur yang sebenarnya bagi golongan yang menjalani ilmu suluk (amalan tariqah) iaitu makam muqarrabin (hampir dengan Tuhan). Melihat mereka dengan mata hatinya terhadap alam semesta adalah terhasil dari af’al-Nya (Tuhan Yang Esa) yang bersifat qahhar (gagah).

Golongan keempat mengatakan bahawa tiada ia melihat wujud di dalam alam ini melainkan zat Tuhan yang Esa Yang Wajibul-wujud iaitu penghayatan orang shiddiqin (penuh kepercayaan) yang ariffin (yang arif) yang dinamakan ahli sufi yang fana di  dalam kudrat-Nya. Maka tiada melihat ia akan dirinya kerana batin/rohaninya tenggelam dengan syuhud (memandang) akan Tuhan  yang Esa Yang Sebenarnya.”

Penjelasan tentang tauhid Ahli Sunnah (angkatan umat Islam di zaman yang awal) tentang keesaan Allah SWT dan sifat-sifat-Nya juga telah dihuraikan oleh Imam al-Ghazali dengan katanya:
“Bahawasanya Allah Taala itu Yang Esa, tidak menyekutui bagi-Nya: Sedia, tiada yang mendahului bagi-Nya: Yang kekal selama-lamanya, tiada bagi-Nya kesudahan: Yang Berdiri dengan sendiri-Nya, tiada yang memutuskan bagi-Nya.” 

Dari fakta-fakta yang telah dihuraikan di atas, maka nyatalah mazhab-mazhab akidah ahli zahir yang silih berganti  menguasai pemerintah/kerajaan Islam dalam tempoh  tertentu adalah mengikut munculnya tokoh yang hebat dan berwibawa  yang memimpin mazhab tersebut  atau mazhab para ulama yang mendapat tempat di sisi pemerintah. Oleh itu, para tokoh ulama khalaf yang terkenal seperti Imam Bukhari, Imam Ahmad, Imam Malik, Imam Hanafi, Imam Syafi’i dan lain-lain tidak sempat mendengar  teori tauhid ini dan fakta ini sudah cukup membuktikan bahawa mereka  bukanlah pengikut mazhab Mu’tazillah atau mazhab Asy’ariah-Maturidiah yang muncul selepas zaman mereka. Di zaman itu agama Islam telah berkembang dan menguasai seluruh Tanah Arab, Persia, Asia Tengah, Utara Afrika sehingga ke Andalusia (Sepanyol dan Portugal), maka amat jelas menunjukkan bahawa kesempurnaan hati/akidah angkatan umat Islam di zaman yang awal  dicapai tanpa ditarbiyahkan dengan pemahaman teori tauhid.

2) Munculnya Ilmu Sifat 20 

Mazhab Asy’ariah-Maturidiah  pada mulanya dimulai dengan tujuh  sifat Allah   yang  terhasil dari perdebatan-perdebatan  atau hujah-hujah ilmu kalam (teori tauhid) yang dikemukakan   oleh Abu Hassan Asy’ari untuk menghadapi hujah-hujah golongan Mu’tazilah tentang Sifat-sifat Allah. Kemudian dikembangkan  oleh muridnya Abu Mansur Al-Maturidi dengan tiga belas sifat  menjadikan jumlahnya dua puluh sifat. Dalam sifat  dua puluh ini ada tergolong sifat nafsiah, sifat salbiah, sifat ma’ani dan sifat ma’nawiah. Sebenarnya,  teori tauhid  golongan ini  merupakan pengetahuan tentang keesaan Allah SWT sebagai Pencipta, yang terkandung di dalam sifat-sifat Allah SWT yang wajib diketahui. Tuhan yang Maha Agung, Tidak Terbatas, tidak memiliki tandingan. Dia lebih dekat kepada manusia berbanding daripada urat nadi mereka. Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang. Tuhan yang Maha Pengampun, Penghapus dosa, Maha Pengampun, Maha pemberi anugerah, Pemilik nikmat, Pemilik rahmat, Dia Zat pemberi rezeki, Tuhan yang Maha Pencipta, Pencipta langit dan bumi, bahkan lebih tinggi lagi. Dialah Pencipta segala sesuatu dan sebagainya.

Tauhid bermaksud: ‘Mengetahui bahawa sesuatu itu satu.’ Menurut definisi secara lebih jelas tentang tauhid: ‘Ilmu yang dapat menetapkan akidah (tekad) keagamaan seseorang yang dicari (dikasab) dari dalil-dalilnya yang berdasarkan keyakinan.’  Mereka  menjelaskan bahawa ilmu tauhid ini memerlukan banyak perbahasan (teori tauhid) kerana Allah SWT, sifat-sifat-Nya dan af’al-Nya adalah ghaib, dan kebanyakan orang berbeza pendapat. Ilmu tauhid dan segala perbahasannya di ambil dari dalil-dalil menurut kajian akal atau disebut dalil akli dan bersumber dari al-Quran yang disebut dalil naqli. Perbahasannya adalah mengenai sifat-sifat yang wajib, mustahil dan jaiz bagi Allah SWT. Tauhid tercermin dalam kesaksian: ‘Tidak ada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad SAW adalah utusan-Nya.’ Tidak ada sembahan yang layak disembah selain daripada Allah. Tidak ada ibadah yang benar kecuali dengan mengikuti syariat Nabi SAW. Kalimah syahadat ini dapat memasukkan orang kafir ke dalam Islam. Orang yang berikrar dengan kalimah tauhid kemudian melakukan ibadah sesuai dengan ketentuan syarak selama ia tidak mempersekutukan Allah atau syirik. Inilah pengetahuan atau hujah-hujah yang mendalam (berbelit-belit) yang berkisar di dalam membahaskan  sifat-sifat Allah SWT (teori tauhid) yang dilonggokkan  pada akal semata-mata. Tanpa mereka sedari bahawa mereka terputus hubungan dengan fitrah yang sedia wujud dalam dirinya (roh/hati) atau terputus tali kerohanian kerana mengabaikan amalan zikrullah. 

Roh manusia dalam keadaan tersendiri tanpa jasad sangat mengenal Allah SWT. Namun hati atau roh itu tetap mampu mengenal Allah SWT setelah ditiupkan ke dalam jasad seperti asalnya apabila manusia mampu berzikir  dan bermujahadah bersungguh-sungguh untuk membersih hijab hati. Apabila hati atau roh itu bersih dari pengaruh nafsu dan syaitan maka ianya kembali terbuka pandang tembus (al-basirah) mengenal Allah SWT seperti asal fitrah kejadian roh itu. Inilah yang dimaksud- kan di dalam firman Allah SWT:
مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَى
Maksudnya:
“Tidak berdusta hati itu tentang apa yang dilihatnya.”              (al - Najm: 11)

Nabi SAW juga pernah bersabda mengenai hakikat fitrah manusia (roh/hati) yang bermaksud:
“Apabila hati Bani Adam tidak di kelilingi oleh syaitan-syaitan maka sudah pastilah mereka mampu melihat kerajaan di langit.”

Nabi SAW bersabda lagi  yang bermaksud:
“Allah SWT berfirman:
Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang jasadnya di bumi dan  hatinya di bawah Arasy.” 

Roh atau hati yang  bersih dari hijab nafsu dan was-was syaitan akan dapat makrifah (kenal) kepada Allah SWT iaitu sampai kepada hakikat Allah SWT dan hakikat kehambaan dirinya. Mereka dapat menguasai diri dan menentang berbagai-bagai kehendak hawa nafsunya, dan dapat pula meneguhkan imannya dengan kehendak dan kekuasaan Allah SWT semata-mata. Inilah yang disifatkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya.
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ      ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً       فَادْخُلِي فِي عِبَادِي      وَادْخُلِي جَنَّتِي    
Maksudnya:
“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Maka masuklah engkau ke dalam jemaah para hamba-hamba-Ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.”       (al-Fajr: 27-30)

Dari suatu sudut yang  lain, mustahil bagi umat Islam untuk menerima hakikat  bahawa   ilmu sifat 20  yang dianggapkan amat penting sebagai jalan mengesakan Allah SWT  (iktikad)   telah tercicir dari dakwah keimanan Nabi SAW dan perintah Allah SWT di dalam al-Quran. Malah, sifat-sifat Allah itu tidak pernah dibincangkan atau dibahaskan oleh para sahabat r.a, tabi’in dan al-salaf. Demikian juga, ianya  tidak diterima oleh sekelian ummah  meskipun ia seorang mujtahid dalam agama atau  betapa pun tinggi pencapaiannya dalam keilmuan dan ketaqwaan untuk mengubah tasawwur akidah Islam ini mengikut kaedah yang tidak Islam. Sesungguhnya,  akidah Islam yang sebenar bukanlah seperti yang diamalkan atau dicapai oleh kebanyakan umat Islam hari ini (teori tauhid), sebaliknya ia terkandung secara qat‘i di dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Kata para ulama khalaf tentang akidah para sahabat r.a dan para tabi’in:
“Mereka tidak kenal perdebatan mengenai Asma’ullah (nama-nama Allah) dan sifat-sifat-Nya. Mereka juga tidak mengakui adanya kajian falsafah mengenai qada’dan qadar. Mereka tidak rela mempertikai penisbatan af’al (perbuatan-perbuatan) kepada Allah atau kepada hamba-hambaNya. Semua masalah itu merupakan Ilmu Allah yang tidak boleh difikirkan oleh akal manusia. Suatu ilmu khusus bagi Allah, bukan medan akal manusia yang lemah menyingkap misterinya.”

Jelas mereka lagi:
“Bila akal manusia memaksa diri melampaui batas-batas itu, maka jelas akan tersesat, menyimpang dari apa yang dituntut oleh Allah SWT. Dirinya akan terjerumus ke jurang penyimpangan yang tidak ada hidayat, nur dan dalil yang jelas.”

Al-Imam Ibnu Katsir berkata:
“Fahaman yang diajarkan beliau (Hassan al-Asy’ari) adalah penetapan 7 sifat wajib bagi Allah SWT dan 7 sifat Mustahil, kemudiannya dikembangkan oleh Shaikh Mansur al-Maturidi menjadi 13 sifat sampai berjumlah 20 sifat. Apabila diteliti, nyatalah bahawa penetapan sifat wajib dan mustahil bagi Allah sebanyak 20 sifat adalah penetapan beliau berdasarkan kepada akal. Sepatutnya apa jua masalah bersangkutan kewujudan Allah SWT seharusnya berdasarkan kepada al-Quran dan hadis Nabi SAW.”

Demikianlah  aliran atau  mazhab akidah ahli zahir yang berpegang kepada ilmu sifat 20 yang merupakan golongan majoriti umat Islam hari ini. Aspek ilmu kalam (teori tauhid) inilah yang wajib dipelajari oleh golongan ini sebagai jalan mengesakan Allah SWT  atau memahami tauhid (iktikad). Biasanya, di segenap pelusuk negeri diadakan majlis bacaan kitab-kitab atau ceramah agama  di masjid-masjid atau surau-surau bagi pemahaman teori tauhid  ini secara mendalam (berbelit-belit). Lanjutan daripada itu akidah Islam yang sepatutnya tidak diperdebatkan  sepertimana  di kalangan angkatan umat Islam di zaman yang awal kini  telah menjadi medan utama perdebatan hingga timbul berbagai-bagai tafsiran terhadapnya (pelbagai mazhab akidah ahli zahir). Masing-masing pihak bertegas bahawa mazhab akidah merekalah yang betul. Bilamana perkara seumpama itu berlaku, maka banyaklah fitnah yang terjadi di kalangan masyarakat Islam.
Di samping itu, para ulama dan cendiakawan mazhab ini mengisytiharkan kepada ummah bahawa para pengasas dan pendokong mazhab ini telah menyusun bagi umat Islam tentang ilmu tauhid menurut sumber-sumber yang sahih atau pun menyimpulkan ijtihad menurut panduan al-Quran dan al-Sunnah serta bertepatan dengan maslahat yang secucuk dengan roh al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu, mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa kesempurnaan hati atau akidah itu adalah perkara ushul atau prinsip dalam syiar Islam yang tidak boleh dilakukan perubahan atau ijtihad, yang hukumnya tetap dari mula hingga akhirnya tanpa mengambil kira faktor masa, tempat dan suasana. 

Malah, para ulama Islam di zaman yang awal telah menetapkan bahawa hanya perkara furu’iyah atau cabang yang dibolehkan dilakukan ijtihad terutamanya terhadap masalah masalah baru yang dihadapi dalam kehidupan umat Islam atas pertimbangan maslahat dan manfaat. Pada pertengahan abad ke-5H, para ulama Islam telah menyatakan bahawa pintu ijtihad telah ditutup. Oleh itu mereka berpegang kepada prinsip  bahawa   segala ilmu dan  kefahaman Islamtelahlengkap dan sempurna.

Sebahagian mereka mengatakan:
“Barangsiapa  bertaklid  kepada   para  sahabat r.a, dia akan menuju kepada Allah dengan selamat.”

Sememangnya perlu difahami bahawa umat Islam hendaklah menyedari dan menjauhkan dirinya daripada sebarang rupa runtunan songsang atau perkara-perkara yang cuba menyelewengkan Islam, dan menganalisis pengertian  sifat-sifat Allah secara sesat lagi menyesatkan, bermatlamatkan mengubah nilai-nilai sebenar hakikat akidah Islam (amalan zikrullah) sehingga menjauhkan umat Islam daripada memahami ketulenan agamanya.

Tidakkah manusia itu lebih berhak mengikut petunjuk Allah SWT yang telah menjadikan mereka, dan Dia juga memberi petunjuk dan hidayah kepada manusia!  Manusia sekali-kali tidak berhajat kepada sebarang petunjuk yang lain meskipun petunjuk yang lain itu kelihatannya lebih baik, lebih praktikal dan lebih layak kepada mereka pada zahirnya.

Justeru itu sebarang harapan, pergantungan dan keperluan sama ada zahir mahupun rohani mestilah dirujuk kepada Allah SWT selaku sumber teragung yang mampu memberi petunjuk dan hidayah kepada manusia. Petunjuk, teori dan ideologi yang disangka oleh manusia sebagai alat yang boleh memberikan kekuatan kepada mereka sebenarnya palsu dan tidak membawa apa-apa erti tanpa sandaran sebenar kepada pertolongan dan hidayah Allah SWT.
Nabi SAW pernah menyebut di dalam hadisnya yang bermaksud:
“Berpegang teguhlah kamu akan  sunnahku dan sunnah khulafa ar-rasyidin yang diberi petunjuk.”                (HR  Abu  Daud)

Nabi SAW  juga pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya tidak ada lain melainkan dua perkara: Perkataan (kalam) dan petunjuk. Oleh itu sebaik-baik perkataan ialah kalam Allah, dan sebaik-baik petunjuk itu ialah petunjuk Muhammad. Ketahuilah, hendaklah kamu menjauhi perkara yang diada-adakan (bidaah), kerana sesungguhnya sejelek-jelek perkara ialah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan itu bidaah dan setiap bidaah itu sesat (dalalah).”
                                                    (HR  Ibn Majah)

Nabi SAW  bersabda  lagi yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menutup pintu taubat daripada setiap ahli bidaah sehingga orang itu meninggalkan bidaah.”                                    (HR  Tabrani)

3) Pengabaian Amalan Berterusan Berzikrullah

Oleh sebab itulah, maka pada hari ini  kita dapati kebanyakan umat Islam sudah tidak mengetahui ilmu dan amalan tariqah. Dengan itu  kita tidak terperanjat jika umat Islam sendiri telah mempersoalkan hakikat kebenaran ilmu dan amalan tersebut. Malahan, majoriti umat Islam hari ini telah terlalu lama dan leka menghabiskan masa dan mengorbankan seluruh usia mereka dengan sia-sia sekadar menjalani tarbiyah keimanan  reka cipta iaitu pemahaman teori tauhid (ilmu sifat 20). 

Di samping itu, para ulama dan pendakwah golongan ahli zahir ini sentiasa menguar-uarkan pelbagai  slogan akidah  di dalam setiap majlis bacaan kitab-kitab atau ceramah agama  bagi menggambarkan kesempurnaan akidah mereka. Antaranya:  kita menyatakan tauhid kepada Allah SWT berdasarkan keyakinan semata-mata, hidayah Ilahi kepada hati, kita hendaklah sentiasa mencintai Allah SWT, hati kita hendaklah sentiasa ikhlas, kita jangan mempersekutukan Allah SWT dengan segala sesuatu, Islam hanyalah berpijak di atas landasan penyerahan diri dan kepasrahan kepada Allah SWT,  dan lain-lain slogan indah yang sentiasa diucapkan oleh cendiakawan Islam itu. 

Boleh dikatakan  mereka tidak menyedari bahawa untuk mencapai tingkat kesempurnaan hati/akidah sebagaimana slogan-slogan akidah yang diuar-uarkan itu memerlukan amalan zikrullah  sebagai jalan atau wasilah. Ini kerana  jika tidak ada tariqah (amalan zikrullah),  maka syariat (slogan-slogan) itu tidak akan dapat memberikan manfaat yang diharapkan kerana ia akan hanya menjadi kerangka atau tubuh badan yang tidak bernyawa. Kepada mereka yang mempunyai tasawwur terhadap akidah Islam yang syumul, mereka pasti mengikut peraturan yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah, dan meninggalkan perbahasan  terhadap teori tauhid yang tiada hubungan dengan hakikat tauhid (roh/hati). Al-Quran ada membayangkan fakta tersebut dalam firman Allah SWT:

الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya:
“Orang beriman hati mereka tenang kerana berzikrullah. Ingatlah bahawa dengan berzikrullah hati manusia akan menjadi tenang.”                       (al - Radr: 28)

Allah SWT  juga berfirman:
 إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَواْ إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِّنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُواْ فَإِذَا هُم مُّبْصِرُونَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya  orang  yang  bertaqwa  apabila  disentuh   rasukan syaitan, lalu mereka berzikrullah dan ketika itu mereka menjadi orang-orang yang mempunyai pemandangan (rahmat Allah ).”                                     (al-A’raf: 201)

Demikianlah golongan yang mencipta pelbagai jalan tarbiyah keimanan reka cipta  adalah seperti orang yang cuba memancing ikan tanpa umpan dan mata pancing. Ia samalah seperti hendakkan anak tanpa berkahwin (berpasangan) atau seperti mahukan buah durian tetapi menanam pokok langsat. Sebaliknya, segala bentuk, cara dan jalantarbiyah keimanan sebagai sebab musabab yang bertepatan itu pula semuanya telah ditempuh dan dilalui oleh Nabi SAW, para sahabat r.a dan al-salaf. Ertinya apabila umat Islam memilih jalan   yang  lain maka natijahnya juga akan menjadi lain. Oleh itu umat Islam mesti menolaknya dan kembali mengikut jalan tarbiyah keimanan  umat terdahulu yang telah berjaya. Berzikirlah bersungguh-sungguhlah dan istiqamah berqiyamullail,   dan berjuanglah dengan semangat yang kental melaksanakan segala amal ibadah yang diperintahkan serta yakin akan janji Allah SWT nescaya kita akan dapat melihat bagaimana Allah SWT membantu dan memberi kemenangan kepada umat Islam.

Ternyata pada umumnya kebanyakan umat Islam hari ini memang telah terlalu banyak membuang masa dengan sia-sia seperti lepak, berfoya-foya, banyak berseronok dan berhibur. Malah, mereka juga telah terlalu lama dibuai oleh lamunan angan-angan kosong berceramah atau berkuliah agama, membaca kitab-kitab, berforum, idea, saranan, resolusi dan bermacam-macam lagi yang entah apa-apa nama dan istilah yang dilaksanakan sebagai jalan tarbiyah keimanan reka cipta. Namun ianya terus gagal untuk memerangi kerakusan nafsu. Oleh itu,  jangan ditambah lagi oleh kelompok ulama atau pendakwah yang turut membuang masa berdakwah sekadar menumpukan kepada pemahaman teori tauhid  dan pengetahuan ilmu fiqah secara mendalam (berbelit-belit). Tegasnya, bentuk tarbiyah ini  sekadar memberitahu ummah  tentang pengertian Rabb, sifat-sifat Allah, af’al-Nya dan fadilat-fadilat segala amal soleh, tetapi mereka  tidak pernah merasai khusyuk hati terhadap Allah akibat hijab nafsu yang tidak pernah diperangi. 

Namun realiti yang kita dapat lihat terhadap umat Islam  hari ini ialah mereka semakin tidak kenal Allah SWT (lalai berzikrullah), derhaka, zalim, ganas, jatuh menjatuh, tindas menindas, gejala murtad, menipu dan mengamalkan rasuah, meminum arak, berzina,  berbunuhan sesama Muslim (negara-negara Arab) dan bergelumbang dengan berbagai gejala kejahatan atau maksiat seolah-olah sebagai manusia tanpa agama, sedangkan semua itu berlaku dalam keadaan agama diperkatakan di mana-mana. Oleh sebab itulah, maka apabila nafsu terdorong untuk melakukan kezaliman, penyelewengan atau lain-lain kemungkaran ataupun kejahatan maka ianya tidak dapat ditangkis atau ditepis oleh akal yang dilonggokkan dengan teori tauhid atau pengetahuan ilmu fiqah (fadilat-fadilat dan hukum hakam segala amal soleh) ataupun idea-idea motivasi. Ini kerana  jalan tarbiyah yang dilaksanakan itu bersifat lahiriah (mengabaikan amalan zikrullah) dan ianya tidak dapat membersihkan hijab hati. Ini menepati firman Allah SWT.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُم بِاللَّهِ الْغَرُورُ
Maksudnya:
“Wahai umat manusia,  sesungguhnya janji Allah (membalas amal soleh kamu) adalah benar. Maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia dan janganlah syaitan yang pandai menipu itu berpeluang memperdayakan kamu dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka).”                           (Fathir: 5)

Malah,  golongan ahli zahir  ini  hanya seperti  tubuh  kaku yang  tidak  bernyawa akibat roh kekuatan agama (amalan zikrullah)  tidak diketahui dan dianggapkan tidak ada hubungan dengan  kesempurnaan hati/akidah. Apabila manusia sudah tidak bernyawa maka ia dipanggil mayat. Iaitu jasad yang sudah kehilangan fungsi. Oleh itu  dalam tempoh yang sangat singkat jasad itu akan mengalami kereputan dan akhirnya hancur. Demikian juga umat Islam yang terpisah dari amalan rohani  dan alam ghaib sama seperti jasad tiada roh. 

Pengabaian terhadap tarbiyah melalui zikir dan mujahadah  menjadikan golongan ini tidak terjamin selamat dari kederhakaan, kemungkaran dan kemaksiatan. Hati mereka  sentiasa lalai dari berterusan berzikrullah. Ibarat orang yang tahu gula itu manis tetapi tidak pernah memakan gula. Orang yang hanya tahu pengertian Rabb,  sifat-sifat Allah SWT dan fadilat-fadilat segala amal soleh   tetapi tidak pernah merasai  khusyuk  hati terhadap Allah akibat mengabaikan amalan zikrullah. 

Di samping itu, golongan ahli zahir ini hanya sarat dengan teori tauhid  dan pengetahuan ilmu fiqah yang mendalam (berbelit-belit) yang bersarang pada akal. Mereka tahu halal dan haram. Tetapi bila bertembung dua keadaan antara runtunan Tuhan dan kepentingan duniawi, nescaya terdorong mereka untuk memilih kepentingan duniawinya. Ini kerana golongan ahli zahir ini  tidak pernah merasa takut kepada Allah SWT  dan sentiasa terlupa di sisi Allah SWT adanya azab Akhirat yang amat pedih untuk ummah yang ingkar. Longgar syariatnya bukan kerana tidak tahu tetapi kerana tidak memiliki kesempurnaan hati/akidah. Pengabdian dan perhambaan kepada Allah SWT sentiasa tidak sempurna akibat pengabaian amalan zikrullah (tergelincir dari sendi akidah). Golongan ini tidak bersifat dengan sifat-sifat kehambaan yang sempurna dan tidak dapat menumpukan seluruh hati kepada Allah SWT, sering pula ada helah dan hujah untuk membenarkan pelanggaran syariat.

Dengan itu,  hati  mereka lalai berzikrullah, nafsunya rakus, ibadahnya cuai dan tiada kelazatan. Syariatnya longgar, akhlaknya rosak. Keperibadian Islamnya kurang meyakinkan. Penampilan dirinya, gerak-gerinya, tingkah lakunya, percakapannya, pemikirannya tidak menggambarkan keindahan Islam. Rumahtangganya tidak terpimpin dan tidak wujud suasana sebuah keluarga Islam. Kebahagiaan hidup tidak diperolehi sepenuhnya. Masih terasa enaknya dengan maksiat. Sesekali insaf dan sedar akan kelemahan imanya dan dia tahu maksiat itu berdosa dan mendatangkan kemurkaan Allah SWT yang balasannya adalah neraka. Namun apabila berhadapan dengan ujian, cubaan dan tarikan ke arah kemaksiatan, seringkali mereka tumpas dan kecundang meskipun kekadang masih ada kemahuan untuk melawan. Inilah tipu daya yang paling besar iaitu berlarut-larut di dalam berbagai dosa disebabkan bergantung harap terhadap keampunan (yang boleh didapati dari Allah) tanpa ada rasa menyesal dan sentiasa menangguh untuk menghampiri diri kepada Allah SWT (zikir dan mujahadah).

Sekali lagi ditegaskan di sini bahawa dakwah Islam ertinya membawa manusia amnya, dan khususnya untuk umat Islam sendiri kepada sentiasa mengagungkan Allah SWT (zikrul-qalb), membesar, menyembah, mengabdi dan mentaati Allah SWT. Juga ingin membawa manusia kepada menerima, memahami dan menghayati ajaran Islam dan mendapat keredaan-Nya. Dan juga membawa mereka kepada kehidupan yang diikat oleh syariat atau hukum hakam Islam.

Oleh itu  apalah yang dapat diharapkan daripada orang yang tidak memiliki kesempurnaan hati/akidah. Hatinya tidak dapat menghayati keagungan dan kesempurnaan Allah SWT. Ibadahnya cuai, syariatnya longgar dan masih lazat dengan kemungkaran. Ertinya syarat yang pertama sebagai sebab untuk Allah SWT serahkan kejayaan dan kemenangan sudah gagal dipenuhi oleh umat Islam. Selagi umat Islam di tahap iman ilmu atau sekadar berfikiran teori tauhid ataupun sarat dengan pengetahuan ilmu fiqah,  maka selama itulah Allah SWT tidak datangkan keyakinan kepada manusia untuk menerima Islam sepenuhnya. Kalau pun ada yang menerima Islam, maka para pengikutnya  juga sama dengan akhlak pemimpin pejuang Islam itu sendiri.

4) Ummah Tanpa Kesempurnaan Hati          

Dalam situasi ummah tanpa kesempurnaan hati/akidah, andainya dia seorang pemimpin, maka kezaliman dan kerosakan berleluasa hasil dari kekuasaan yang dimilikinya. Pemikirannya tidak membawa banyak kebaikan kepada umat. Pembangunan- nya lebih condong kepada meterialisma. Keuntungan duniawi lebih diutamakan. Rakyat menerima padah di atas kerakusannya.

Andainya dia seorang intelek, cetusan idea dan pandangannya lebih cenderung kepada kepentingan pemerintah. Andainya dia seorang ulama, maka masyarakat umum tidak menjadikannya sandaran. Dia tidak mewarisi peribadi, tugas,  peranan dan tanggungjawab para Nabi dan Rasul. Kehidupan ulama tidak berbeza dengan orang awam.

Andainya dia seorang pekerja, buruh atau petani, keluh kesah, mendongkol dan tiada kesabaran sering melanda hidupnya. Sudahlah nasibnya miskin material yang memang sedia susah, ditambah pula dengan miskin jiwa, bertambah parahlah penderitaan hidup yang dialami. Kemiskinan dianggapnya satu bala dari Tuhan.

Orang kaya yang kelebihan harta benda tidak dirasainya sebagai kurnia Allah, amanah dan ujian. Mereka kedekut, tamak, membazir, berfoya-foya, bermewahan dan berlebihan. Akhirnya lahirlah masyarakat yang mengalami berbagai kegawatan. Semua perkara negatif, mungkar, jenayah dan kesalahan hanya mahu diundang-undangkan. Kemudian dikuatkuasakan berserta hukuman. Maka lahirlah umat yang tidak pernah puas hati, berdendam, geram dan pemarah.

Begitulah situasi umat Islam apabila mengalami fenomena ‘kekeliruan berakidah’ tanpa disedari atau lalai berzikrullah (tergelincir dari landasan akidah), atau masih berada di tahap iman teori tauhid,  mereka sentiasa tewas kepada kehendak hawa nafsu liar. Banyak tenaga, masa  dan wang ringgit yang dihabiskan sebagai peruntukan membuat kajian, perancangan, program dan aktiviti untuk mencegah dan membendung gejala negatif. Namun hasilnya sangatlah mengecewakan. Inilah yang dimaksudkan dengan tumpas atau kecundang di gelanggang sendiri. Tewas kepada kerakusan nafsu yang tidak pernah diperanginya. Kalah kepada pujuk rayu syaitan. Jatuh terjelepak berhadapan dengan tarikan dan tipu daya kelazatan dan kesenangan duniawi yang sementara.

Sayangnya terlalu sedikit di kalangan umat Islam yang menyedari dan memandang penting terhadap persoalan pertama dan utama ini. Akibatnya umat Islam terus bergelut dan bergelumbang dengan berbagai sifat-sifat keji dan perbuatan negatif. Maksiat dan kemungkaran itulah yang menjadi hijab atau penghalang dari turunnya bantuan Allah SWT. Dalam konteks dakwah pula, ini adalah penghalang manusia menerima kebenaran (Islam).

Dari fakta-fakta yang diberikan di atas, amat jelas menunjukkan bahawa golongan ahli zahir ini telah  menghabis- kan dan mengorbankan seluruh tenaga dan usia dengan sia-sia iaitu sekadar memberi penumpuan kepada  pemahaman teori tauhid dan pengetahuan ilmu fiqah yang mendalam (berbelit-belit) supaya bersarang pada akal. Dengan ini bermakna tanpa disedari mereka bahawa jalan tarbiyah  yang direka cipta itu tidak dapat memerangi nafsu dan membaiki penyaki-penyakit hati yang bersifat rohaniah. Oleh itu  buatlah pelbgai bentuk  tarbiyah keimanan reka cipta atau program,  jika tidak berasaskan  zikir dan mujahadah (tariqah), maka ianya tidak akan berhasil mencegah dan membendung gejala negatif dan kemungkaran. 

Nabi SAW  juga bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya siapa di antara kamu yang hidup nescaya dia akan melihat banyak perselisihan (yang akan terjadi). Oleh itu berpegang teguhlah kepada sunnahku dan sunnah khulafa-ur-Rasyiddin yang mendapat petunjuk, gigitlah dia (sunnah-sunnah itu) dengan geraham. Hindarkanlah olehmu mengadakan akan perkara baru (dalam urusan agama), tiap-tiap perkara baru adalah bida’ah dan tiap-tiap bida’ah adalah sesat.”
                                           (HR  Abu Daud dan Tirmizi)

Sebuah hadis Nabi SAW yang lain pula dapat menguatkan lagi berlakunya proses kelunturan atau kemalapan ilmu dan amalan Islam. Nabi SAW bersabda seperti berikut:
“Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian kurun yang mengikuti kurun mereka itu, kemudian kurun yang mengikuti kurun mereka itu, kemudian akan meluaslah kedustaan, maka janganlah kamu pegang kata-kata mereka dan amalan mereka.”

Berdasarkan kepada hadis yang tersebut dapat kita simpulkan bahawa keunggulan zaman Islam itu hanya pada peringkat tiga kurun yang awal iaitu, kurun pertama, kedua, dan kurun ketiga Hijrah. Selepas kurun ke tiga Hijrah kemerosotan dan kemalapan umat Islam dalam fahaman agama amat jelas sehingga Nabi SAW mengingatkan umatnya supaya mereka berwaspada jangan sampai terjerumus ke lembah kesesatan, mereka mestilah sentiasa menjadikan ulama-ulama Islam yang lahir pada tiga kurun itu sahaja sebagai tonggak ikutan mereka, contoh tauladan mereka. Oleh sebab itulah, maka kita dapati bahawa mazhab-mazhab Islam baik dalam bidang fiqah mahupun dalam bidang tauhid lahir dalam lingkungan tiga kurun yang awal itu sahaja. Apa yang dimaksudkan dengan zaman ulama al-salaf adalah tiga kurun tersebut. Kerana itulah ramai ulama Islam berpendapat bahawa mazhab yang boleh diikuti oleh umat Islam adalah mazhab yang lahir dalam lingkungan tiga kurun itu dan mana-mana mazhab yang lahir selepasnya tidak boleh dianuti, kerana tidak terlepas daripada berbagai-bagai kelemahan dan kecacatan.

Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya kamu akan mengikuti jejak orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga mereka masuk ke dalam lubang biawak, kamu pun akan masuk juga”    (HR  Imam Bukhari  dan Muslim)


April 10, 2019

kitab jawi lama ( rumi ): Qidam Dan Keterangannya

kitab jawi lama ( rumi ): Qidam Dan Keterangannya: ‘Aqiidatun Najiin ( Siri 26 ) Dan kata Mushannif : ﴾   ﻭﺍﻠﻘﺪﻢ   ﴿ Ertinya : Yang kedua daripada shifat yang wajib bagi Allah Ta‘ala ...

March 21, 2019

SEKITAR KOI: Limau rawit... Rock Style

SEKITAR KOI: Limau rawit... Rock Style: Feb 2013... Ini adalah pohon limau rawit.... Di bentuk dengan Style root on rock n semi cascade... Medium tanaman adalah tanah bakar + pas...

SEKITAR KOI: Mencari bonsai... kesinai/ssinar

SEKITAR KOI: Mencari bonsai... kesinai/ssinar: 30.08.2013/Jumaat Bersama abg jali (buluh poh), hasan, mae n ust zamrul ke kawasan belukar area Padang Halban, Melor untuk mendapatkn bhn ...

SEKITAR KOI: APA ITU BONSAI (SECARA RINGKASNYA)

SEKITAR KOI: APA ITU BONSAI (SECARA RINGKASNYA): BELAJAR MENGENAI BONSAI Dari Mylaman.net oleh Saardy Bonsai pernah digambarkan sebagai 'puisi sepi'... dan seperti sebuah ...